• LISTEN NOW ON AIR

    03/28/24 - 03/28/24

WHAT'S NEXT

03/28/24 - 03/28/24

26 ATLET KIBAR CABARAN SARAWAK DI SUKAN ARAFURA 2019

Sarawak akan menghantar seramai 26 atlet untuk mengambil bahagian dalam temasya Sukan Arafura 2019


Back To Sports Updates

KUCHING: Sarawak akan menghantar seramai 26 atlet untuk mengambil bahagian dalam temasya Sukan Arafura 2019 yang akan diadakan di Darwin, Australia dari 26 April hingga 4 Mei depan.

Dari jumlah itu, lapan merupakan atlet olahraga iaitu Kong Chin Poh, Ngu Ing Biao, Ailenna Thipong, Vincent Lau, Michelle Wong, Jonah Chang, Grace Wong dan Mandy Goh.

Manakala adik beradik Hii Puong Hou, Hii Puong Wei, Zachary Tan, Job Tan, Ryan Yii dan Aden Yii akan bertanding dalam acara renang.

Dua lagi peserta iaitu Nanthan Kueh dan Chloe Chieng bersaing dalam acara skuasy.

Hari ini berlangsung majlis penyerahan bendera kepada kontinjen negeri disempurnakan oleh Menteri Pelancongan, Kesenian, Kebudayaan, Belia dan Sukan, Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah bertempat di Bangunan Baitul Makmur, Petra Jaya.

Ia turut dihadiri Menteri Muda Belia dan Sukan, Datuk Snowdan Lawan.

“Kita akan menyertai sukan renang, olahraga dan skuasy. Kejohanan ini akan menjadi pendedahan berguna kepada atlet kita terutama untuk persiapan SUKMA tahun depan.

“Selain itu, pasukan bola tampar lelaki dan wanita Sarawak juga akan mewakili negara di kejohanan sama. Ia termasuk sukan ping pong.

“Ini menjadikan senarai sukan yang akan disertai atlet Sarawak di Darwin ialah olahraga, renang, skuasy, bola tampar dan ping pong,” katanya dalam sidang media.

Menurutnya, senarai atlet yang terlibat diyakini mampu memberikan saingan kepada atlet negara lain dan berpotensi menjadi atlet kebangsaan satu hari kelak.

Untuk rekod, Sarawak menyertai temasya sukan dwitahunan itu sejak 1997.

Edisi kali ini akan disertai sejumlah 1,500 atlet dari 40 negara iaitu American Samoa, Australia, Austria, Bangladesh, Brunei, Kemboja, China, Taiwan, Kepulauan Cook, Republik Chech, England, Persekutuan Micronesia, Fiji, Perancis, Great Britain, Guam, Hungary, India, Indonesia, Israel, Kazakhstan, Kiribati, Macau, Malaysia, Malta, Kepulauan Marshall, Mongolia, Nauru, Nepal, New Caledonia, New Zealand, Nigeria, Pakistan, Papua New Guinea, Filipina, Romania, Samoa, Singapura, Kepulauan Solomon, Thailand, Timor-Leste, Tonga, Turki, Tuvalu, Ukraine, Emiriah Arab Bersatu, Amerika Syarikat, Uzbekistan, Vanuatu dan Vietnam.

Ia mempertandingkan 17 acara sukan iaitu olahraga, badminton, bola keranjang, bola keranjang 3 lawan 3 Pro Hustle, bola tampar pantai, tinju, bola sepak, bola tampar dewan, muaythai, bola jaring, perahu layar, sepak takraw, skuasy, renang, ping pong, tenis dan angkat berat.

“Saya mengharapkan semua atlet kita memberikan yang terbaik. Kita tidak menetapkan sasaran spesisifik kerana tidak tahu kekuatan atlet dari negara lain.

“Namun jika kita mampu menaiki podium, ia satu pencapaian yang cukup baik untuk atlet kita,” tambah Abdul Karim lagi.

Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Sukan Sarawak (PSS), Dr Ong Kong Swee dan Pengurus Bahagian Pembangunan Sukan PSS, Ahmad Rodzli Hashim akan bertindak selaku Ketua Kontinjen dan Penolong Kontinjen Sarawak.

Sumber: Utusan Borneo
oleh Harry Illias