WHAT'S NEXT

RUAI CATS

01.00pm - 04.00pm

FAS PERLUKAN SOKONGAN KORPORAT

Awang Tengah ditemani Ripin, Lukanisman dan tetamu bersama Skuad Piala Presiden Sarawak pada pelancaran jersi rasmi di Miri petang semalam


Back To Sports Updates

MIRI: Sokongan badan korporat diperlukan untuk membantu Persatuan Bola Sepak Sarawak (FAS) bagi mengembangkan bakat pemain-pemain muda yang ramai di negeri ini sehingga mampu menjadi nama besar dalam arena bola sepak.

Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan percaya dengan pengurusan pasukan yang profesional dan barisan pemain berdisiplin maka FAS mampu mengembalikan era kegemilangan seperti Ngap Sayot.

“Saya ingin menyeru badan-badan korporat membantu FAS memastikan pasukan kita (Sarawak) berjaya kerana ia begitu signifikan melalui bola sepak, kita dapat meningkatkan semangat patriotik kalangan masyarakat dan perpaduan sesama kita,” katanya pada majlis memperkenal Skuad Piala Presiden Sarawak di sini petang semalam.

Menteri Pembangunan Bandar dan Sumber Asli Kedua itu berkata, sokongan korporat adalah pelaburan besar untuk meningkatkan semangat anak-anak Sarawak dan memastikan rakyat terus bersatu menerusi sukan.

“Saya berharap ahli-ahli korporat dapat membantu kerana bola sepak adalah sukan nombor satu negara dan ia sesuatu yang boleh meningkatkan semangat patriotik,” jelasnya.

Selain membantu dana, pasukan kita juga harus memiliki pemain-pemain berdisiplin tinggi dan memanfaatkan latihan serta potensi diri masing-masing untuk meningkatkan prestasi dan imej bola sepak Sarawak.

Sarawak mampu melahirkan ramai pemain bola sepak profesional dan nama besar dalam arena bola sepak tanah air jika melihat kepada prestasi cemerlang pasukan Ngap Sayot sebelum ini.

“Kita mempunyai ramai bakat dan dalam era gemilang Ngap Sayot, ramai pemain begitu cemerlang dari Sarawak dan yang penting kita harus mempunyai ‘wining mentality’ iaitu semangat untuk berjaya,” tegasnya.

Awang Tengah menyanjung tinggi usaha kepimpinan, perjuangan serta pengorbanan FAS untuk mengangkatkan sukan bola sepak negeri ini.

Beliau juga berterima kasih kepada kedai peralatan sukan Lea Sports Centre (LSC) atas tajaan pakaian jenama ‘Starsport’ sebagai pakaian rasmi Skuad Piala Presiden Sarawak musim ini.

Awang Tengah turut mengumumkan sumbangan geran berjumlah RM80,000 kepada FAS iaitu RM50,000 daripada beliau, RM10,000 masing-masing daripada Ahli Parlimen Sibuti Lukanisman Awang Sauni, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Piasau, Datuk Sebastian Ting dan ADUN Lambir, Ripin Lamat.

Hadir sama Timbalan Presiden FAS Datuk Pengiran Daud Pengiran Putra, Pegawai Daerah Miri Abdul Aziz Mohd Yusuf, Pengarah Urusan Lea Sport Centre, Raymond Sim dan Naib Presiden FAS merangkap Penyelaras Piala Presiden Sarawak, Mohamad Saif Jubaidi.

Sumber: Utusan Borneo
oleh Steve Annuar