• LISTEN NOW ON AIR

    RUAI CATS

    01.00pm - 04.00pm

WHAT'S NEXT

GENG PETANG CATS

04.00pm - 08.00pm

CHONG WEI BUKAN SASARAN EMAS

Persa­tuan Badminton Malaysia (BAM) enggan meletakkan sasaran pingat emas kepada Datuk Lee Chong Wei dalam Sukan Olimpik 2020


Back To Sports Updates

Persa­tuan Badminton Malaysia (BAM) enggan meletakkan sasaran pingat emas kepada Datuk Lee Chong Wei dalam Sukan Olimpik 2020, sebaliknya mahu memberi ruang kepada jaguh negara itu untuk kembali secara kompetitif.

Pengerusi Jawatankuasa Kejurulatihan dan Latihan (C&T) BAM, Datuk Ng Chin Chai berkata, pihak­nya tidak boleh terus meletakkan sasaran besar kerana pemenang tiga pingat perak Sukan Olimpik itu sudah lama tidak beraksi secara kompetitif.

“Berikan Chong Wei masa untuk jalani latihan, dia perlu masa untuk lihat sama ada mampu kembali bersaing atau tidak dan dapatkan nasihat doktor.

“Seandainya sudah boleh bersaing semula, baru kita cakap mengenai kelayakan Sukan O­limpik.

“Mungkin pada Mei tahun hadapan kita boleh jawab sama ada Chong Wei boleh dijadikan sandaran emas atau tidak,” katanya selepas Mesyuarat C&T, di Akademi Badminton Malaysia, Bukit Kiara, di sini hari ini.

Biarpun sudah pulih daripada kanser hidung dan dijangka membuat penampilan semula dalam Terbuka Malaysia, April ini, namun Chong Wei mengakui, laluannya untuk layak ke temasya di Tokyo cukup berliku.

Menjelang aksi kelayakan yang akan bermula Mei ini, Chong Wei berada di ranking ke-30 dunia, ketinggalan di belakang Zii Jia (28) dan Daren (29).

Sementara itu, BAM membuat keputusan untuk menghantar skuad muda bagi menggalas cabaran Kejohanan Berpasukan Campuran Asia atau kini dikenali sebagai Piala Tong Yun Kai di Hong Kong dari 19-24 Mac ini.

Cabaran negara akan diketuai Soong Joo Ven bersama Cheam June Wei dalam perseorangan lelaki, diikuti Lee Ying Ying serta Ho Yen Mei bagi perseora­ngan wanita.

Beregu lelaki akan menampilkan gandingan Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani serta Low Hang Yee-Ng Eng Cheong manakala Pearly Tan-Yap Ling dan Lim Chiew Sien-Anna Cheong manggalas cabaran untuk beregu wanita.

Gandingan Chen Tang Jie-Peck Yen Wei bersama Hoo Pang Ron-Cheah Yee See akan membawa cabaran dalam acara beregu campuran.

“Keputusan menyenaraikan pemain muda dalam kejohanan ini adalah kerana kebanyakan pemain senior akan menyertai All England pada waktu itu dan dalam senarai kali ini tiada pemain profesional disenaraikan.

“Kami mahu mendedahkan pemain-pemain muda ini kepada acara berpasukan dan kesemua mereka ini adalah pemain berusia di bawah 23 tahun,” kata Chin Chai.

Sumber: Utusan Online