WHAT'S NEXT

ANTAP MUZIK

11.00pm - 06.00am

ACARA JALAN KAKI PENUH DRAMA

Acara jalan kaki 2 kilometer di Sukan Malaysia (SUKMA) Perak hari ini sekali lagi diwarnai episod suka dan duka


Back To Sports Updates

IPOH: Acara jalan kaki 2 kilometer di Sukan Malaysia (SUKMA) Perak hari ini sekali lagi diwarnai episod suka dan duka apabila impian atlet Negeri Sembilan, R Premkumaar untuk menebus kekecewaan dinafikan sekali lagi.

Hajat atlet berusia 20 tahun itu untuk meraih pingat tidak kesampaian apabila penyertaannya dibatalkan ketika perlumbaan berbaki 26 pusingan selepas menerima tiga kad merah kerana kesalahan mengangkat kaki.

Bukan itu saja hasrat atlet tuan rumah, Nurhafiy Nasrul Zulkarnain yang ketika itu berkedudukan pingat perak juga terpaksa dilupakan apabila jatuh pengsan sehingga terpaksa diusung keluar untuk diberi rawatan.

Pada aksi penuh dramatik itu, atlet tuan rumah Mior Muhammad Amerul Mohd Sahak dinobatkan pemenang emas selepas mencatat 1 jam 45:58 saat manakala Irfan Hanania Abdul Shahir dari Perlis,  perak (1:53:02s) dan Muhammad Fakhrul Razi Jailani, Melaka, gangsa (1:54:29s).

Buat Mior, kerja kerasnya selama ini untuk menyumbangkan dua emas kepada Perak ibarat misi terlaksana.

Kehadiran ibunya, Sharifah Fatimah Syed Mohammad nyata memberi kesan untuk Mior mengekalkan momentum sehingga bergelar juara berganda acara jalan kaki selepas mengungguli saingan 10km jalan kaki sebelum ini.

"Saya sentiasa berdoa agar Allah mempermudahkan urusan saya. Alhamdulillah ia berhasil dan sokongan keluarga, jurulatih (S Saravanan, Thiago Manaron dan Fauzi Sulaiman) banyak membantu saya hari ini dalam memenuhi impian untuk menyumbangkan dua emas.

"Saya katakan kepada diri sendiri, saya perlu berusaha keras kerana Perak adalah tuan rumah dan mahu melakukan terbaik, seterusnya menebus kekalahan di SUKMA Sarawak apabila hanya meraih perak selepas tewas kepada Premkumaar. 

"Saya harap kejayaan hari ini membolehkan saya mewakili negara ke Sukan SEA di Filipina tahun depan. Biarpun berdasarkan ranking, saya kini atlet jalan kaki ketiga terbaik negara di belakang Lo Choon Sieng dan Muhammad Khairil Harith Harun, tapi saya akan berusaha," katanya yang berasal dari Batu Gajah, Perak. 

Sumber: Berita Harian