• LISTEN NOW ON AIR

    CATS 30

    10.00am - 01.00pm

WHAT'S NEXT

LAGU TEBILANG CATS

01.00pm - 03.00pm

PEMULIHAN JUN HOONG, PANDELELA LANCAR

Jurulatih terjun negara, Christian Brooker gembira dengan perkembangan dua anak buahnya, Cheong Jun Hoong dan Pandelela Rinong


Back To Sports Updates

KUALA LUMPUR: Jurulatih terjun negara, Christian Brooker gembira dengan perkembangan dua anak buahnya, Cheong Jun Hoong dan Pandelela Rinong yang semakin hampir sembuh daripada kecederaan.

Jun Hoong, yang juga juara 10 meter platform dunia, mengalami kecederaan lutut Julai lalu, manakala Pandelela cedera di bahagian otot belakang badan bulan lalu.

Lebih malang Jun Hoong terlepas peluang untuk beraksi pada Sukan Asia Jakarta-Palembang, manakala Pandelela pula hanya beraksi separuh jalan pada temasya itu.

Brooker, yang kini berada di Ipoh untuk menyaksikan acara terjun Sukan Malaysia (SUKMA), mengakui semuanya berjalan lancar buat kedua-dua anak buahnya itu.

Pada masa sama skuad terjun negara pula diberikan rehat selama sebulan selepas selesai tugasan Sukan Asia.

“Jun Hoong melalui proses pemulihan kecederaan dengan baik sekali. Saya baru saja bersembang dengannya selepas dia datang menyaksikan acara terjun di SUKMA.

“Dia berjalan dengan sempurna menggunakan tongkat selepas melalui pembedahan dan menyatakan proses pemulihan kecederaannya berjalan lancar, saya harap dapat melihatnya kembali berlatih seperti biasa selepas ini.

“Pandelela pula mengalami ketegangan otot ketika Sukan Asia dan dia juga melalui pemeriksaan secara profesional dengan baik sekali. Semuanya berada dalam keadaan seperti yang kami harapkan.

“Cuti dalam tempoh sebulan untuk membolehkan semua atlet hilangkan tekanan mereka selepas melalui musim yang sibuk dengan beberapa kejohanan besar musim ini dan saya juga mahu mereka berehat,” kata Brooker.

Bagaimanapun, jurulatih dari Australia itu tidak mahu memberi komen lanjut bila Jun Hoong dan Pandelela akan kembali berlatih.

“Semuanya bergantung kepada pakar perubatan profesional untuk memberikan lampu hijau. Kami perlu mendengar nasihat mereka.

“Kami tidak mahu terlalu memberi tekanan kepada Jun Hoong, kerana perkara mustahak adalah memastikan dia benar-benar sembuh,” kata Brooker.

Tiada sebarang kejohanan utama bulan ini dan bulan depan, namun mereka akan menghadapi tiga aksi Grand Prix FINA pada November di Kuala Lumpur (9-11 November), Gold Coast (15-18 November) dan Singapura (23-25 November).

Sumber: Berita Harian