WHAT'S NEXT

CATS WEEKEND BEAT

04.00pm - 08.00pm

'PEMANG-KANE' KEMENANGAN DRAMATIK ENGLAND!

Harry Kane selamatkan maruah the Three Lions dengan gol kemenangan ke atas Tunisia


Back To Sports Updates

VOLGOGRAD: Penyandang juara Jerman kalah, Portugal dan Sepanyol seri, Brazil juga seri, Argentina pun seri, tetapi England menang!

Pasukan yang paling popular tetapi sekian lama mengecewakan dan semakin hilang penyokongnya, membuka saingan di pentas Piala Dunia kali ini dengan kemenangan penuh dramatik, 2-1 ke atas Tunisia.

Kapten The Three Lions, Harry Kane memastikan pasukan muda pimpinannya tidak terus dipandang remeh selepas gagal melepasi peringkat kumpulan pada edisi lalu di Brazil.

Bermula dengan jaringan minit ke-11, Kane yang tidak dikawal meledak gol pertama selepas tandukan John Stones ditampan keluar penjaga gol Tunisia, Farouk Ben Mustapha.

Bagaimanapun pendahuluan skuad kendalian Gareth Southgate itu tidak bertahan lama selepas Tunisia dihadiahkan sepakan penalti apabila Kyle Walker melakukan faul ke atas Fakhreddine Ben Youssef.

Ulang tayang menunjukkan Walker menyiku muka Ben Youssef dan bernasib baik hanya dilayangkan kad kuning.

Sepakan penalti leret Ferjani Sassi ke arah kanan gawang menewaskan Jordan Pickford.

Walaupun penjaga gol Everton itu berjaya membaca sepakan Sassi, namun gapaiannya tidak cukup untuk menyelamatkan gawang England daripada dibolosi skuad Les Aigles de Carthage.

Enggan malu kepada pasukan yang hanya pernah layak ke pentas Piala Dunia FIFA sebanyak lima kali, England terus mempergiat serangan dalam babak kedua.

Tunisia tidak kurang mencemaskan lawan dengan serangan-serangan balas yang hanya berakhir dengan kekecewaan kerana ketumpulan jentera peledak di kawasan penalti England.

Kubu Tunisia akhirnya dibolosi ketika perlawanan memasuki minit pertama masa kecederaan.

Kane sekali lagi berjaya meloloskan diri daripada kawalan pertahanan Tunisia untuk menyudahkan tandukan yang dibuat Harry Maguire, susulan sepakan sudut Kevin Trippier.

Dua jaringan tersebut meletakkan penyerang Tottenham Hotspur itu bersama peledak Belgium, Romelu Lukaku, penggempur Sepanyol, Diego Costa namun di belakang penyerang sensasi Portugal, Cristiano Ronaldo yang mencetak tiga gol bagi mendahului senarai penjaring terbanyak setakat ini.

England akan bertemu pendatang baru, Panama dalam perlawanan kedua mereka di peringkat Kumpulan G pada 8 malam 24 Jun nanti, sementara Tunisia akan menerima cabaran pendahulu kumpulan, Belgium sehari sebelumnya pada waktu sama.

Sumber: AWANI