WHAT'S NEXT

#CATSMUZIK

10.00am - 01.00pm

LIGA FAM: PENGADIL BERAT SEBELAH HAMPIR HAMPIR MAKAN TANGAN KUCHING FA

Kekalahan bukanlah sesuatu yang mudah ditelan, namun ia akan lebih menyeksakan apabila pengadil dilihat tidak profesional dan berat sebelah


Back To Sports Updates

Kekalahan bukanlah sesuatu yang mudah ditelan, namun ia akan lebih menyeksakan apabila pengadil dilihat tidak profesional dan berat sebelah.

Atas faktor itulah, pengadil Ahmad Fareez Mat Suburi yang menghakimi saingan Liga FAM di antara Kuching FA dan PJ Rangers semalam bukan sahaja dihujani makian pada akhir perlawanan, bahkan hampir “makan tangan” pegawai Kuching FA; andai emosi mendahului pertimbangan.

Dalam aksi di Stadium Negeri itu, satu kad merah dilayangkan kepada pemain Kuching FA, yang kemudian diterjemahkan rasa tidak puas hati oleh pegawai dan lebih 400 penyokong.

Kuching FA tumpas 1-2 kepada PJ Rangers menerusi jaringan Fandi Ahmad pada minit kesembilan dan sepakan percuma sempurna Khairul Nazrin dari jarak 25 meter sebelum berakhir babak pertama.

Bangkit pada saat akhir sekadar menghadiahkan gol saguhati kepada Kuching FA pada minit ke-88.

Gol Mohd Shafitri Salem itu hadir sangat lewat ketika masa tambahan hanya berbaki tiga minit, sedangkan aksi terhenti melangkaui lima minit akibat percakaran tengah padang.

Lanjutan keputusan itu, Kuching FA akan membuat aduan rasmi kepada Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), kata Pengurusnya, Fazruddin Abdul Rahman.

“Banyak keputusannya memihak kepada pasukan lawan dan paling kita terkilan, aksi masa tambahan hanya tiga minit, sedangkan perlawanan terganggu lebih enam minit.

“Kita ada rakaman video dan kita akan memfailkan aduan dan laporan, termasuk aksi kad merah ketika penjaga garisan mengakui tiada kesalahan,” jelasnya.

Bagaimanapun Fazruddin mengakui bahawa hasrat Kuching FA dan Ketua Jurulatih Mohamad Shahrizan Sahari untuk mengutip sekurang-kurangnya satu mata penuh tertunda kerana kegagalan para pemain memanfaatkan peluang yang terhidang.

“Jika peluag-peluang dalam separuh masa pertama diterjemahkan sepenuhnya, mungkin corak permainan kita akan berubah.

“Pasukan PJ Rangers memang menghadirkan saingan namun pemain kita juga mencipta peluang.

Apabila peluang yang diperoleh Kuching FA gagal dimanfaatkan, kesempatan digunakan oleh anak-anak buah Mat Zan Mat Aris merancang serangan dan mereka berjaya menghasilkan dua gol.

“Gol ini memaksa kita bekerja keras dan pada separuh masa kedua, situasi makin sukar apabila pemain kita kena pula dilayangkan kad merah.

Fazruddin bagaimanapun memuji para pemainnya yang dapat berkubu dengan baik dalam tempoh tekanan tersebut, malah berjaya menghadirkan gol lewat.

“Untuk pertemuan seterusnya dengan Penjara, kita akan mengkaji kelemahan pada aksi ini dan memperbaiki apa yang patut.

“Kita merancangan pelan perlawanan berdasarkan pasukan yang akan dihadapi, apatah lagi beraksi di kubu lawan.

“Untuk aksi ini, saya masih berpuas hati. Jika diabaikan faktor pengadilan, kita tumbang kerana pemain gagal menterjemahkan peluang dan sentuhan penyudah yang lemah.

“Kita akan beri tumpuan kepada aspek ini.

Di sebalik tahap kecergasan yang masih kurang, Fazruddin mengakui wujud peningkatan pada tahap stamina pemain berbanding aksi-aksi sebelumnya.

“Kita akan teruskan rejim latihan ini dan yakin akan mencapai tingkat kecergasan penuh untuk tiga atau empat perlawanan akan datang.

Ia kekalahan kedua Kuching FA, selepas menang dan seri sekali.