WHAT'S NEXT

CATS WEEKEND

07.00am - 10.00am

PANDELELA HARAP KEAJAIBAN KE OLIMPIK PARIS

Pandelela dan Dhabitah hanya menamatkan saingan di kedudukan ke-12 kelmarin sekali gus impian ke Olimpik Paris sangat tipis


Back To Sports Updates

Impian rakyat Malaysia untuk melihat Datuk Pandelela Rinong beraksi di pentas Olimpik Paris kali ini hampir lebur apabila gagal meraih peluang terakhir untuk acara 10 meter platform seirama selepas gagal dalam acara individu.

Dia dan rakan gandingannya, Nur Dhabitah terpaksa berpuas hati berada di tempat ke-12 pada Kejohanan Akuatik Dunia Doha kelmarin yang menawarkan tiket ke saingan di Paris itu ketika perlu berada dalam kelompok empat terbaik.

Pada aksi final itu, gandingan negara itu hanya mengumpul jumlah 240.06 mata keseluruhan acara berkenaan yang berlangsung di Pusat Akuatik Hamad.

Pengarah teknikal skuad terjun negara, Bryan Nickson Lomas mendedahkan bahawa Dhabitah mengalami kecederaan sekali gus menjejaskan aksi terjunannya.

“Malangnya Dhabitah mengalami kecederaan semasa hari pertama kami tiba di Doha. Dia mengakui impak dari terjunan pada ketinggian 10m adalah sukar untuknya. Tetapi, Dhabitah percaya dia boleh meneruskan terjun dalam acara 3m papan anjal esok (hari ini),” kata Bryan.

Dhabitah dijadualkan beraksi dalam acara akhir acara 3m papan anjal seirama wanita dengan Wendy Ng lewat hari ini.

Sementara itu, Setiausaha Persekutuan Renang Malaysia (MS) Andy Low mengesahkan bahawa peluang Pandelela layak ke Olimpik Paris bagi acara 10m platform individu tertutup rapat, namun bagi 10m platform seirama, masih memiliki harapan yang sangat tipis.

“Untuk 10m seirama peluang amat tipis. Jika masih ada kuota kosong negara yang sudah layak mungkin senarai nama penerjun yang belum layak akan naik ke atas, tetapi peluang amat tipis. Apapun, keputusan itu boleh diketahui dalam tempoh seminggu lagi,” kata Andy.

Pada Ahad lalu, ratu terjun negara itu turut terlepas tiket ke Paris dalam acara kegemarannya 10m platform individu selepas menamatkan saingan di tempat ke-29 daripada 46 peserta selepas mengumpul 231.15 mata, sekali gus gagal ke separuh akhir di Doha.

Untuk rekod, Pandelela sudah pun melakukan empat penampilan berturut-turut pada Sukan Olimpik selain memenangi pingat gangsa 10m platform individu wanita di Olimpik London 2012 sebelum merangkul perak 10m platform seirama wanita bersama Cheong Jun Hoong semasa Olimpik Rio 2016.

Sumber: Kosmo Online!
Oleh MUHAMMAD RIDUAN MOHD HANAFIAH
 
Sertai Telegram kami untuk mendapat berita-berita terkini