WHAT'S NEXT

ANTAP MUZIK

11.00pm - 06.00am

LIVERPOOL 'AJAR' EVERTON

Pemain Liverpool meraikan kemenangan ketika menewaskan Everton pada perlawanan Liga Perdana


Back To Sports Updates

LIVERPOOL: Liverpool mengembalikan kelebihan lapan mata di puncak Liga Perdana ketika Divock Origi terus menjadi ‘pemusnah’ buat Everton menerusi kemenangan 5-2 dalam aksi tetangga Merseyside di Anfield, awal pagi tadi.

Enam daripada tujuh gol yang dijaringkan terhasil pada babak pertama dengan Origi dan Xherdan Shaqiri, yang menggantikan Roberto Firmino dan Mohamed Salah meletakkan juara Eropah itu mendahului 2-0 selepas 17 minit permainan.

Michael Keane merapatkan semula jurang buat Everton sebelum Origi meledak gol kedua peribadinya pada minit ke-31 dengan Sadio Mane menjadikan kedudukan 4-1 menerusi serangan balas pantas.

Kedudukan kembali berubah apabila Richarlison kembali merapatkan jurang tetapi jaringan Georginio Wijnaldum pada penghujung perlawanan mematikan kebangkitan Everton yang ketika ini menghuni kedudukan tiga tercorot liga susulan kekalahan itu.

“Semua gol yang dijaringkan menakjubkan,” kata jurulatih Liverpool, Jurgen Klopp. “Gol-gol yang menarik, hantaran yang sensasi, permainan bola sepak yang mengagumkan. Saya amat menggemarinya.”

Klopp menegaskan perlawanan menentang Everton sebagai ‘besar’ buat Liverpool sekali pun kedua-dua pasukan dibezakan dengan jurang mata yang besar di kedudukan liga.

Tetapi tindakan pengendali dari Jerman itu jelas tidak selari dengan kata-katanya apabila dia berupaya untuk merehatkan bintang utamanya, Firmino dan Salah menjelang tempoh sibuk Reds yang terpaksa mengharungi tiga kejohanan bulan ini.

“Kami memerlukan pemain yang cergas dan saya cuba untuk menunjukkan rasa hormat kepada pemain-pemain dalam skuad ini,” kata Klopp. “Dan mereka membuktikannya. Lebih seronok melakukan penukaran, kesemua pemain bersedia untuk memberikan prestasi seperti ini.”

Sumber: Berita Harian