MADRID - Kerajaan Sepanyol memberi bayangan bakal menarik diri daripada Piala Dunia 2026 sekiranya Israel dibenarkan beraksi di kejohanan itu.
La Roja, yang kini mendahului Kumpulan E kelayakan, hampir pasti menempah slot ke kejohanan berprestij dunia yang akan berlangsung di Amerika Syarikat, Kanada, dan Mexico dari 11 Jun hingga 19 Julai 2026.
Namun, Perdana Menteri Sepanyol, Pedro Sanchez menegaskan pasukannya mungkin memboikot kejohanan itu sebagai tanda protes terhadap tindakan Israel di Gaza. Beliau turut menggesa agar negara itu diharamkan daripada menyertai sebarang pertandingan sukan antarabangsa.
Sanchez mengkritik FIFA dan UEFA kerana didakwa memberi layanan berbeza kepada Israel berbanding Rusia, yang masih digantung susulan pencerobohan ke atas Ukraine pada 2022.
“Israel tidak boleh menggunakan platform antarabangsa untuk memperbaiki imejnya,” katanya.
Jurucakap Kongres Sepanyol, Patxi Lopez turut menyokong cadangan itu dengan menekankan kerajaan perlu tegas mengundi untuk memboikot sekiranya Israel layak dan dibenarkan bertanding.
Sumber: Kosmo Online!
Sertai Telegram kami untuk mendapat berita-berita terkini