BANGKOK - Seorang anggota tentera Thailand cedera parah selepas terpijak periuk api ketika melakukan rondaan berhampiran sempadan Kemboja, semalam.
Kejadian berlaku kira-kira satu kilometer dari Kuil Ta Moan Thom di wilayah Surin, hanya beberapa hari selepas Thailand dan Kemboja bersetuju melaksanakan gencatan senjata susulan pertempuran berdarah lima hari pada Julai lalu.
Letupan mengakibatkan Sarjan Teerapon Phiakhantee kehilangan kaki kiri. Beliau kini dirawat di hospital.
Jurucakap Tentera Thailand, Mejar Jeneral Winthai Suvaree, menuduh Kemboja melanggar perjanjian gencatan senjata serta Konvensyen Ottawa yang melarang penggunaan periuk api.
“Ini kali keempat dalam beberapa minggu tentera kami cedera akibat periuk api di kawasan sempadan,” katanya.
Thailand mendakwa periuk api diletakkan di sebelah wilayahnya, namun Kemboja menafikan tuduhan itu, menyatakan insiden berpunca daripada periuk api lama peninggalan konflik puluhan tahun lalu.
Ketegangan sempadan antara kedua-dua negara berkisar pada kawasan bersejarah seperti kuil purba Hindu Ta Moan Thom dan Preah Vihear, yang belum ditandakan secara rasmi. Pertempuran pada 24 Julai lalu mengorbankan sekurang-kurangnya 43 nyawa dan memaksa lebih 300,000 penduduk berpindah.
Sumber: Berita Harian
Sertai Telegram kami untuk mendapat berita-berita terkini