LIVERPOOL, 8 Ogos - Penyerang Liverpool, Darwin Nunez semakin hampir melengkapkan perpindahan ke kelab Arab Saudi, Al-Hilal, selepas kedua-dua pihak dilaporkan bersetuju dengan nilai perpindahan sekitar €65 juta (RM317.5 juta).
Menurut beberapa laporan, kontrak peribadi kini sedang dimuktamadkan setelah Al-Hilal bersetuju memenuhi tuntutan gaji pemain antarabangsa Uruguay itu. Nunez, 26, tidak berjaya menambat hati pengurus baharu, Arne Slot, dan hanya tampil sebagai kesebelasan utama dalam lapan perlawanan Liga Perdana Inggeris musim lalu.
Walaupun turut menarik minat Atletico Madrid dan AC Milan, tawaran Al-Hilal dilihat paling meyakinkan dan diterima Liverpool, yang sedia melepaskan pemain itu sejak awal jendela perpindahan musim panas.
AC Milan kini sedang mempertimbangkan pilihan lain termasuk usaha mendapatkan Rasmus Hojlund dari Manchester United secara pinjaman selepas gagal bersaing dalam rundingan untuk Nunez.
Nunez menyertai Liverpool dari Benfica pada 2022 dengan nilai keseluruhan mencecah £85 juta (RM477.3 juta) termasuk bonus prestasi, namun hanya menjaringkan 33 gol dalam dua musim bersama The Reds.
Walaupun turut serta dalam kempen pramusim dan menjaringkan gol menentang Athletic Bilbao baru-baru ini, masa depan Nunez di Anfield tampak semakin pudar di bawah kepimpinan Slot.
Sementara itu, usaha Liverpool untuk mendapatkan penyerang Newcastle, Alexander Isak, dilaporkan menemui kegagalan selepas bidaan bernilai £110 juta (RM617 juta) ditolak. Dalam masa yang sama, Benjamin Sesko semakin hampir menyertai Manchester United.
Sumber: Kosmo Online!
Sertai Telegram kami untuk mendapat berita-berita terkini