WASHINGTON, 8 Ogos 2025 – Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump hari ini mendesak Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) baharu Intel, Lip-Bu Tan, supaya meletakkan jawatan serta-merta berikutan kebimbangan keselamatan negara yang dibangkitkan oleh seorang senator Republikan.
Dalam hantaran di platform media sosial miliknya, Truth Social, Trump berkata:
"CEO INTEL sangat MEMPUNYAI KONFLIK dan mesti meletakkan jawatan serta-merta. Tiada penyelesaian lain untuk masalah ini."
Gesaan itu dibuat sehari selepas Senator Tom Cotton mendedahkan bahawa beliau telah menghantar surat kepada Intel, mempersoalkan hubungan antara Tan dan beberapa syarikat berpangkalan di China.
Menurut Cotton, Tan mengawal puluhan syarikat China dan mempunyai kepentingan dalam ratusan syarikat berkaitan pembuatan cip dan teknologi maju di negara itu. Malah, sekurang-kurangnya lapan daripadanya didakwa mempunyai kaitan langsung dengan Tentera Pembebasan Rakyat China (PLA).
Surat tersebut, yang turut disiarkan di laman web rasmi Cotton, turut menyentuh peranan Tan sebagai bekas Ketua Pegawai Eksekutif Cadence Design Systems. Cotton mendakwa syarikat itu baru-baru ini mengaku bersalah atas tuduhan menjual produk secara haram kepada sebuah universiti tentera China dan memindahkan teknologi kepada syarikat semikonduktor China tanpa kelulusan perundangan yang sewajarnya.
"Tan mengetuai syarikat itu ketika insiden tersebut berlaku," kata Cotton dalam suratnya.
Lip-Bu Tan, seorang veteran industri teknologi kelahiran Malaysia, dilantik sebagai CEO Intel pada Mac lalu ketika syarikat itu berdepan tekanan besar di tengah-tengah perang perdagangan antara AS dan China. Beliau turut mengumumkan langkah penstrukturan semula termasuk pemberhentian pekerja sebagai respons kepada sekatan eksport dan tarif yang dikenakan oleh Rumah Putih.
Dalam kenyataan terdahulu, Tan mengakui bahawa usaha untuk memulihkan kedudukan Intel dalam pasaran global "tidak akan mudah".
Intel, yang pernah menjadi nama besar dalam dunia teknologi AS, kini berdepan saingan sengit daripada gergasi Asia seperti TSMC dan Samsung. Kedua-dua syarikat itu kini mendominasi pengeluaran cip mengikut tempahan, manakala Intel semakin tercabar oleh kebangkitan Nvidia dalam pasaran cip kecerdasan buatan (AI).
Sumber: Berita Harian
Sertai Telegram kami untuk mendapat berita-berita terkini