URUMQI, 6 Ogos - Sekurang-kurangnya lima orang maut manakala 24 lagi cedera apabila sebuah jambatan gantung runtuh di destinasi pelancongan popular di Wilayah Autonomi Uygur Xinjiang, barat laut China.
Menurut laporan agensi berita Xinhua, kejadian berlaku sekitar jam 6.18 petang apabila salah satu kabel utama jambatan di daerah Zhaosu, Wilayah Autonomi Ili Kazak, terputus. Insiden itu menyebabkan geladak jambatan menjadi senget dan mengakibatkan 29 orang terjatuh dari struktur berkenaan.
Daripada jumlah mangsa yang cedera, dua dilaporkan dalam keadaan serius manakala 22 lagi mengalami kecederaan ringan. Semua mangsa telah dihantar ke hospital berdekatan untuk rawatan lanjut.
Pihak berkuasa memaklumkan bahawa tiada mangsa berada dalam keadaan kritikal buat masa ini. Kawasan kejadian telah ditutup kepada orang awam dan siasatan sedang dijalankan bagi mengenal pasti punca insiden.
Insiden tragik ini turut mencetuskan kebimbangan berhubung tahap keselamatan infrastruktur pelancongan di kawasan berkenaan, yang sering dikunjungi pelancong tempatan dan antarabangsa.
Sumber: Berita Harian
Sertai Telegram kami untuk mendapat berita-berita terkini