KUALA LUMPUR, 7 Ogos – Thailand dan Kemboja mencapai persetujuan untuk melanjutkan gencatan senjata susulan pertempuran sengit yang mengorbankan sekurang-kurangnya 43 nyawa di kawasan sempadan bulan lalu.
Perjanjian itu dicapai selepas rundingan selama tiga hari di Kuala Lumpur, dengan penglibatan aktif Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim, yang juga Pengerusi ASEAN. Konflik berdarah itu tercetus akibat pertikaian lama melibatkan sebuah kuil di sempadan kedua-dua negara.
Dalam kenyataan bersama yang dikeluarkan hari ini, kedua-dua negara komited untuk menghentikan semua bentuk serangan, termasuk terhadap orang awam, infrastruktur awam dan sasaran ketenteraan di semua kawasan yang terlibat.
“Perjanjian ini tidak boleh dilanggar dalam apa jua keadaan,” tegas kenyataan yang ditandatangani oleh Timbalan Menteri Pertahanan Thailand, Nattaphon Narkphanit dan Menteri Pertahanan Kemboja, Tea Seiha.
Walaupun gencatan senjata pertama telah dikuatkuasakan, terdapat laporan saling tuduh antara kedua-dua pihak berhubung pelanggaran perjanjian dan insiden tembakan di sepanjang sempadan sepanjang 800 kilometer.
Namun, menerusi perjanjian terbaru ini, kedua-dua pihak bersetuju untuk membekukan sebarang pergerakan dan rondaan ketenteraan di kawasan sempadan, bagi meredakan ketegangan yang masih berlarutan.
“Kami berada di Kuala Lumpur untuk membentuk pelan gencatan senjata yang lebih terperinci demi menghentikan pertumpahan darah dan penderitaan yang dialami anggota tentera serta orang awam di kedua-dua negara,” kata Tea Seiha kepada media.
Sumber: Kosmo Online!
Sertai Telegram kami untuk mendapat berita-berita terkini