NEW DELHI, 6 Ogos – Sekurang-kurangnya empat orang maut dan sekitar 100 lagi dilaporkan hilang selepas banjir kilat membawa arus lumpur deras melanda pekan Dharali di negeri Uttarakhand, India, semalam.
Bencana berlaku apabila aliran lumpur meluru melalui sebuah lembah sempit di kawasan pergunungan Himalaya, memusnahkan bangunan dan infrastruktur dalam laluannya.
“Ia adalah situasi yang serius,” kata Menteri Negara bagi Pertahanan, Sanjay Seth kepada agensi Press Trust of India (PTI). “Kami menerima maklumat mengenai empat kematian dan kira-kira 100 orang hilang.”
Rakaman video yang tular di media tempatan menunjukkan gelombang air berlumpur menghanyutkan bangunan apartmen dan pelancong yang panik cuba menyelamatkan diri, namun ada yang turut dihanyutkan.
Ketua Menteri Uttarakhand, Pushkar Singh Dhami menyifatkan operasi menyelamat di lokasi kejadian sebagai "situasi perang" dan mengesahkan pasukan penyelamat telah dikerahkan segera.
Tentera India dalam satu kenyataan berkata, seramai 150 anggota dihantar ke kawasan tersebut dan berjaya menyelamatkan kira-kira 20 orang yang terperangkap dalam lumpur beku.
“Tanah runtuh besar menyebabkan aliran deras menghentam Dharali dan menenggelamkan kawasan penempatan,” kata kenyataan tentera.
Menurut Komander Pasukan Tindak Balas Bencana Negeri, Arpan Yaduvanshi, lumpur di beberapa kawasan dilaporkan mencapai kedalaman sehingga 15 meter, menenggelamkan bangunan sepenuhnya hingga ke bumbung.
Sumber: Kosmo Online!
Sertai Telegram kami untuk mendapat berita-berita terkini