KUCHING - Jambatan baharu yang merentasi Sungai Bintangor di Satok kini rasmi dinamakan sebagai Jambatan Datuk Amar Jumaani, sebagai penghormatan kepada Allahyarhamah isteri Premier Sarawak.
Penamaan ini diumumkan selepas Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg bersetuju dengan cadangan yang dikemukakan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Satok, Dato Ibrahim Baki.
Menurut Dato Ibrahim, nama itu dipilih bagi mengenang jasa dan sumbangan Allahyarhamah Datuk Amar Puan Sri Jumaani Tuanku Bujang terhadap masyarakat setempat, khususnya di kawasan Satok.
Jambatan empat lorong dua hala bernilai RM50 juta itu dianggap sebagai struktur ikonik baharu di bandar raya Kuching. Ia merangkumi laluan sepanjang 658.83 meter, termasuk 172.305 meter bahagian jambatan utama yang merentasi Sungai Bintangor.
Majlis perasmiannya berlangsung meriah malam tadi, diserikan dengan pertunjukan bunga api dan dihadiri oleh pemimpin negeri serta penduduk tempatan.
Pembinaan jambatan ini merupakan sebahagian daripada usaha berterusan kerajaan negeri dalam menaik taraf infrastruktur di kawasan Satok, selaras dengan komitmen untuk meningkatkan kesejahteraan rakyat melalui pembangunan mampan.
Sertai Telegram kami untuk mendapat berita-berita terkini

WHAT’S HOT

06 August 2025 | 09:55 AM