KUALA LUMPUR, 4 Ogos - Filem baharu tempatan berjudul Memori yang mula ditayangkan di pawagam seluruh negara sejak 31 Julai lalu, membawa mesej mendalam mengenai hubungan kekeluargaan dan cabaran menjaga pesakit Alzheimer, diinspirasikan daripada pengalaman peribadi pengarahnya sendiri, Abid Hussain.
Diterbitkan oleh Creative Stew Sdn. Bhd. dengan kerjasama Golden Screen Cinemas, Memori mengetengahkan kisah menyentuh hati antara seorang bapa dan anak yang terpaksa berdepan kisah silam yang mencengkam serta realiti penyakit Alzheimer yang semakin meningkat di Malaysia.
Pelakon utama filem ini, Diana Danielle, berkata bahawa naskhah seperti Memori wajar diberikan perhatian kerana membawa mesej sosial yang besar dan mewakili suara golongan yang kurang disedari masyarakat.
“Filem ini mewakili topik yang sangat penting, bukan sahaja tentang penyakit Alzheimer, tapi tentang perjuangan kehidupan sebenar ramai individu,” katanya kepada HibGlam.
Menurut Diana, penglibatan Abid dalam menghasilkan filem ini bukan sekadar berkarya, tetapi berakar daripada pengalaman peribadinya menjaga bapa yang menghidap Alzheimer.
“Dia pernah menyertai sebuah kumpulan sokongan di Facebook dan daripada situ dia sedar ramai sebenarnya sedang bergelut dengan cabaran menjaga pesakit Alzheimer. Filem ini lahir daripada rasa empatinya,” jelasnya.
Diana, 34, turut menyatakan penghargaan terhadap keberanian Abid dalam memilih jalan cerita yang tidak tipikal untuk pasaran arus perdana.
“Dia boleh saja hasilkan filem yang lebih mesra ‘box office’, tapi dia pilih untuk cerita yang membuka mata masyarakat. Saya sangat bangga dengan keberaniannya,” tambah Diana.
Walaupun tidak mempunyai pengalaman secara langsung menjaga pesakit Alzheimer, Diana berkongsi bahawa dia pernah menguruskan orang sakit dan menyifatkan proses tersebut sebagai sesuatu yang sangat mencabar secara emosi dan fizikal.
“Kadang-kadang, ia boleh mencetuskan salah faham sesama ahli keluarga. Dan yang paling merisaukan adalah apabila memikirkan masa depan pesakit, terutama jika mereka ‘pergi’ suatu hari nanti,” katanya.
Dalam pada itu, Diana menyeru masyarakat agar lebih peka dan memberikan sokongan kepada penjaga pesakit, terutamanya dalam aspek emosi dan kewangan.
“Ramai penjaga tidak mempunyai ruang untuk mengadu atau meluahkan kepenatan. Mereka tidak boleh tunjukkan yang mereka letih di depan pesakit. Jadi, kita sebagai masyarakat sekeliling boleh memainkan peranan memberi sokongan walaupun sekadar menjadi pendengar,” katanya mengakhiri perbualan.
Memori kini ditayangkan di pawagam seluruh negara dan dijangka membuka lebih banyak perbincangan mengenai kesedaran penyakit Alzheimer serta peranan penjaga dalam masyarakat.
Sumber: Kosmo Online!
Sertai Telegram kami untuk mendapat berita-berita terkini