Beberapa penerbangan yang dikendalikan oleh AirAsia Malaysia (AK), AirAsia Indonesia (QZ) dan AirAsia X Malaysia (D7) ke dan dari destinasi popular seperti Bali, Lombok dan Labuan Bajo telah dibatalkan atau dijadualkan semula bermula hari ini. Langkah ini diambil susulan letusan Gunung Lewotobi di Nusa Tenggara Timur, Indonesia.
Letusan gunung berapi tersebut telah menghasilkan awan abu yang meluas, sekali gus mengancam keselamatan penerbangan di sekitar kawasan terlibat. AirAsia dalam satu kenyataan berkata, pihak syarikat memandang serius keselamatan operasi dan telah mengambil tindakan segera dengan memaklumkan para penumpang melalui emel dan SMS berkenaan status penerbangan serta pilihan pemulihan perjalanan yang ditawarkan.
AirAsia turut menegaskan bahawa syarikat sedang berusaha sebaik mungkin bagi memastikan para penumpang dapat meneruskan perjalanan dengan selamat menggunakan penerbangan gantian yang disediakan. Penumpang juga digalakkan menyemak maklumat terkini melalui aplikasi AirAsia MOVE dan notifikasi emel sekiranya terdapat sebarang perubahan.
Sementara itu, pemantauan terhadap Gunung Lewotobi akan diteruskan dan sebarang perkembangan akan dimaklumkan dari semasa ke semasa.
Gunung Lewotobi Laki-Laki dilaporkan meletus semalam, memuntahkan abu setinggi 11 kilometer ke udara. Susulan letusan itu, pihak berkuasa Indonesia telah menaikkan tahap amaran gunung berapi tersebut ke tahap paling bahaya dengan kemungkinan berlakunya aliran lahar sekiranya hujan lebat turun.
Orang ramai dinasihatkan untuk mengikuti perkembangan terkini dan mematuhi nasihat keselamatan yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa dan syarikat penerbangan.
Sumber: Kosmo Online!
Sertai Telegram kami untuk mendapat berita-berita terkini