Washington – Bintang bola sepak terkenal Portugal, Cristiano Ronaldo, telah menghadiahkan sehelai jersi kepada Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump, sebagai simbol sokongan terhadap keamanan sejagat. Jersi tersebut ditandatangani oleh Ronaldo dan mengandungi mesej berbunyi: “Kepada Presiden Donald J. Trump – bermainlah untuk keamanan.”
Jersi itu diserahkan melalui Presiden Majlis Eropah, Antonio Costa, dan disambut dengan penuh penghargaan oleh Trump. Video detik penerimaan hadiah itu telah dikongsi oleh pasukan Trump di laman Instagram rasmi mereka, bersama kapsyen: “Presiden Donald Trump menerima jersi yang ditandatangani oleh Cristiano (Ronaldo).”
Dalam video tersebut, Trump dilihat tersenyum dan berkata: “Oh, saya sukakannya. Bermain untuk keamanan.” Ucapan itu menggambarkan keterbukaan beliau terhadap mesej yang dibawa oleh Ronaldo.
Tindakan Ronaldo ini dianggap sebagai satu mesej diplomatik dan simbolik, menyeru pemimpin dunia untuk menegakkan nilai keamanan dan keadilan. Beberapa pengguna media sosial menyuarakan sokongan mereka, dengan menyatakan bahawa Ronaldo menyampaikan aspirasi rakyat dunia melalui isyarat tersebut. Ada juga yang menyifatkan Trump sebagai pemimpin yang mampu membina hubungan baik dengan pelbagai negara.
Sumber: Kosmo Online!
Sertai Telegram kami untuk mendapat berita-berita terkini