Polis Kuala Lumpur sedang giat mengesan sekumpulan individu yang disyaki terlibat dalam satu kes tembakan yang menggemparkan orang awam di sebuah pusat beli-belah di Jalan Loke Yew, Cheras, malam semalam. Kejadian tragik itu dilaporkan berlaku sekitar jam 10.26 malam, melibatkan dua lelaki tempatan yang berasal dari Sibu, Sarawak.
Menurut Timbalan Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Mohamed Usuf Jan Mohamad, pihak polis menerima laporan berkenaan insiden tersebut pada jam 12.48 tengah malam. Siasatan awal mendapati bahawa mangsa diserang ketika hendak menaiki kenderaan mereka. Kedua-dua mangsa berusia dalam lingkungan 40-an disahkan meninggal dunia di tempat kejadian akibat terkena tembakan.
Suspek dipercayai terdiri daripada sekumpulan lelaki bertopeng ski berwarna hitam dan menaiki kenderaan jenis Perodua Alza. Motif serangan masih belum dikenal pasti dan siasatan sedang dijalankan secara menyeluruh untuk mengesan dan mengenal pasti suspek terlibat.
Polis menyeru orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat mengenai kejadian supaya tampil membantu siasatan dengan menghubungi hotline Ibu Pejabat Polis Daerah Cheras di talian 03-9284 5050 / 5051, hotline Polis Kuala Lumpur di 03-2115 9999, atau mana-mana balai polis berdekatan.
Sumber: Kosmo Online!
Sertai Telegram kami untuk mendapat berita-berita terkini