KUCHING – Keputusan berhubung semakan kadar fi pekerja asing di bawah pelaksanaan Pendekatan Transformasi Pekerja Asing (FWTA), hanya akan dimuktamadkan selepas kerajaan menerima cadangan serta laporan hasil rundingan yang sedang dijalankan dengan pihak berkaitan.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, bagi tujuan itu, Timbalan Menteri di Jabatan Premier (Buruh, Imigresen dan Pemantauan Projek), Datuk Gerawat Gala sedang mengadakan siri rundingan dengan organisasi yang terlibat.
Menurut beliau, proses rundingan perlu dilaksanakan terlebih dahulu memandangkan terdapat obligasi kontrak yang perlu dipatuhi berdasarkan terma sedia ada.
Perbincangan dengan syarikat berkaitan juga perlu dilakukan bagi menilai keadaan semasa, khususnya mengambil kira situasi ekonomi kini.
Katanya, kerajaan akan mempertimbangkan kemungkinan untuk menurunkan atau menyusun semula kadar fi tersebut, agar lebih sesuai dan tidak membebankan pihak swasta.
Beliau berkata demikian semasa ditemui media, selepas menyaksikan Majlis Menandatangani Kontrak Platform Pengeluaran Sirung PTTEP–BHSB di Kuching, hari ini.
Sebelum ini, pada sidang media sempena Majlis Perasmian Program Sarawakku Sayang Bahagian Bintulu minggu lalu, beliau memaklumkan kerajaan negeri sedang meneliti semula kadar berkaitan sebelum pelaksanaan FWTA.
Menurutnya, beberapa sesi rundingan telah diadakan dan proses semakan semula sedang berjalan sebelum pendekatan tersebut dilaksanakan selepas tempoh semasa berakhir.
Tambah beliau, Datuk Gerawat akan memberikan penjelasan lanjut mengenai perkembangan rundingan tersebut, termasuk hasil perbincangan yang sedang berlangsung.
Kerajaan negeri turut akan meneliti semula kontrak sedia ada sebelum sebarang keputusan muktamad dibuat.
#BilikBeritaCATS #CATSFM #Umobile
Back