KUCHING – Projek Sirung menghampiri fasa penting pembangunannya, selepas pemeteraian kontrak Kejuruteraan, Perolehan dan Pembinaan (EPC) antara PTTEP Sarawak Oil Limited dan Brooke Holding Sdn Bhd (BHSB) di Kuching, hari ini.
Perjanjian strategik itu memberi isyarat jelas bahawa projek medan luar pesisir Sirung kini bergerak daripada peringkat perancangan kepada realiti pelaksanaan di lapangan.
Pengurus Aset Negara PTTEP Malaysia, Vitoon Chaisomboonpan berkata, pemeteraian kontrak itu mencerminkan keyakinan tinggi PTTEP terhadap keupayaan rakan tempatan.
Selain itu, ia sekali gus mengukuhkan lagi komitmen jangka panjang syarikatnya terhadap pembangunan Lembangan Sarawak.
Menurut beliau, projek berkenaan berkembang secara konsisten sejak penemuan Sirung-1 pada tahun 2021,melalui kerjasama rapat bersama pelbagai pihak.
Reka bentuk kejuruteraan awal projek itu telah siap dan keputusan pelaburan muktamad juga telah dicapai.
Katanya, dengan penyertaan BHSB, projek tersebut kini memasuki fasa pelaksanaan penuh dan berada di landasan tepat untuk pengeluaran pertama minyak pada tahun 2028.
Projek Sirung yang terletak kira-kira 140 kilometer dari kompleks MLNG di Bintulu itu, akan dibangunkan di Blok Luar Pesisir SK405B, dengan purata kedalaman air sekitar 40 hingga 50 meter.
Ia akan disokong oleh platform pengeluaran baharu yang direka untuk memudahkan pengeluaran minyak dan gas secara lebih efisien dan bersepadu.
Dari segi skala, projek itu melibatkan kira-kira 8,500 metrik tan komponen topside dan struktur bawah, menjadikannya antara pembangunan luar pesisir berskala besar yang sedang dilaksanakan di rantau ini.
Lebih penting, projek itu juga turut menonjolkan pendekatan pembangunan tenaga yang lebih bertanggungjawab, termasuk operasi tanpa pembakaran rutin serta penggunaan sistem operasi jarak jauh.
Ia selaras dengan trend global ke arah pengurangan pelepasan karbon dalam sektor minyak dan gas.
Vitoon menegaskan, projek itu bukan sahaja memberi tumpuan kepada pengeluaran tenaga, tetapi turut memperkukuh penyertaan industri tempatan serta memberi impak langsung kepada pertumbuhan ekonomi Sarawak dan Malaysia secara keseluruhan.
Dengan fasa EPC kini bermula secara rasmi, Projek Sirung dilihat bukan lagi sekadar potensi di peta geologi, tetapi semakin menghampiri statusnya sebagai salah satu pembangunan tenaga baharu yang signifikan di rantau luar pesisir Malaysia.
#BilikBeritaCATS #CATSFM #Umobile
Back