MUKAH - Pesta Kaul Mukah 2026 dijangka berlangsung dengan lebih meriah, menampilkan pelbagai aktiviti yang mengetengahkan keunikan budaya dan tradisi masyarakat Melanau, selain berpotensi menarik pengunjung dari dalam dan luar Sarawak.
Menurut Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Balingian, Abdul Yaakub Arbi, penganjuran kali ini dirancang secara menyeluruh bagi memastikan elemen warisan, kebudayaan, dan pelancongan dapat digarap dengan berkesan. Aktiviti yang dijadualkan termasuk Pertandingan Ratu Cantik Teluwaih Jinih, Lumba Bidar Lukut, Pertandingan Bermukun, Pertandingan Masakan Melanau, serta persembahan kesenian dan kebudayaan.
Pesta bermula pada 25 April dengan Upacara Serahang Kakan, simbolik pembukaan rasmi yang melibatkan perarakan perahu berhias dan persembahan juadah tradisional kepada ipok, penjaga laut menurut kepercayaan Melanau.
Majlis perasmian dijadualkan pada 2 Mei di Tapak Kaul Mukah oleh Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg, manakala Upacara Keman Kaul pada 3 Mei akan dihadiri Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar.
Sementara itu, Timbalan Presiden Persatuan Melanau Mukah (PMM) dan ADUN Tellian, Royston Valentine, menekankan kepentingan kerjasama antara agensi kerajaan dan swasta bagi memastikan kejayaan penganjuran pesta.
Abdul Yaakub juga menasihatkan masyarakat merancang perjalanan lebih awal bagi mengelakkan kesulitan dan menjemput orang ramai untuk menyertai Pesta Kaul Mukah 2026 serta merasai keunikan warisan budaya Melanau.
Sumber: Jabatan Penerangan Mukah
#BilikBeritaCATS #CATSFM #Umobile
Back