Kuching - Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuching menahan 59 individu dan merampas pelbagai jenis dadah bernilai RM2,682.40 dalam Ops Tapis Khas Narkotik yang dijalankan selama sembilan hari bermula 6 hingga 14 Disember 2025, bagi membanteras aktiviti pengedaran dan penyalahgunaan dadah di sekitar Kuching.
Ketua Polis Daerah Kuching, ACP Alexson Naga Anak Chabu berkata, dalam operasi berkenaan, dua individu ditahan mengikut Seksyen 39A(1) Akta Dadah Berbahaya 1952, sembilan individu di bawah Seksyen 12(2) akta sama, manakala 48 lagi ditahan mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.
Menurut beliau, polis turut merampas 23.84 gram dadah jenis methamphetamine serta 0.90 gram pil Erimin 5 hasil risikan berterusan dan kerjasama orang awam.
“Polis Diraja Malaysia tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang terlibat dalam pemilikan, pengedaran atau perlindungan aktiviti dadah kerana ia merupakan kesalahan serius di sisi undang-undang,” katanya dalam kenyataan semalam.
Tambahnya, Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) akan terus mempergiat usaha memerangi dadah bagi melindungi generasi masa kini dan akan datang, sambil menyeru orang ramai menyalurkan maklumat melalui Hotline JSJN di 012-208 7222 atau Hotline JSJN IPK Sarawak di 017-592 9211.
#BilikBeritaCATS #CATSFM #Umobile
Back