Bangkok - Malaysia mengubat kekecewaan tersingkirnya skuad bola sepak B-23 negara di separuh akhir dengan meraih enam pingat emas pada hari keenam Sukan SEA 2025, hasil kecemerlangan atlet dalam lima cabang sukan termasuk wusyu, gimnastik berirama, olahraga, snuker dan renang.
Skuad B-23 kendalian Mohd Nafuzi Zain gagal mara ke final selepas tewas tipis 1-0 kepada tuan rumah Thailand di Stadium Rajamangala, sekali gus meleburkan impian merebut ‘ibu segala pingat’ pada temasya dwitahunan itu.
Namun, kem negara bangkit menampilkan prestasi membanggakan apabila ratu wusyu Tan Cheong Min menyumbang dua emas, masing-masing menerusi acara gabungan nanquan, nandao dan nangun wanita serta duilian bersenjata berpasukan bersama Loh Ying Ting dan Pang Pui Yee.
Malaysia turut menamatkan kemarau lapan tahun emas gimnastik berirama berpasukan wanita selepas mengumpul 234.60 mata hasil persembahan konsisten barisan atlet yang dibarisi Valeria Ng, Bernice See, Syamimi Amalia Shahrizam dan rakan sepasukan.
Dalam acara olahraga, Andre Anura Anuar menamatkan penantian 22 tahun negara dalam lompat jauh lelaki apabila meraih emas dengan lompatan sejauh 7.71 meter, manakala trio snuker negara Thor Chuan Leong, Moh Keen Hoo dan Lim Kok Leong menambah emas acara 6-Red berpasukan lelaki.
Kejayaan semalam dilengkapkan oleh jaguh renang Khiew Hoe Yean yang menghadiahkan emas keduanya menerusi acara 400 meter gaya bebas lelaki.
Selepas enam hari pertandingan, Thailand kekal mendahului carta pingat dengan 145 emas, diikuti Indonesia dan Vietnam, manakala Malaysia berada di kedudukan kelima dengan pungutan 26 emas, 28 perak dan 80 gangsa, ketika kontinjen negara terus mengorak langkah mengejar sasaran keseluruhan 200 pingat.
Sumber: BERNAMA
#BilikBeritaCATS #CATSFM #Umobile
Back