BANGKOK - Jaguh lontar peluru lelaki negara, Jonah Chang Rigan, mempamerkan prestasi cemerlang apabila merangkul pingat emas sambil memecahkan rekod temasya pada Sukan SEA Thailand 2025 di Stadium Suphachalasai, malam ini.
Atlet kelahiran Sarawak itu mengesahkan emas dengan lontaran 18.78 meter (m) pada percubaan ketiga, sekali gus memadam rekod temasya 18.38m milik atlet Filipina, William III Edward Morrison, yang dicatat pada edisi 2019 di Filipina.
Lebih manis, catatan itu turut memperbaharui rekod kebangsaan miliknya sendiri 18.46m yang dilakukan pada Kejohanan Olahraga Terbuka Pahang tahun lalu.
Pingat perak dimenangi atlet tuan rumah, Silamool Thongchai, dengan lontaran 16.80m, manakala gangsa menjadi milik Morrison.
Kejayaan ini menyaksikan atlet berusia 22 tahun itu memperbaiki pencapaian tempat keempat pada penampilan sulungnya di Sukan SEA Kemboja dua tahun lalu.
Emas Jonah merupakan emas ketiga kem olahraga negara selepas Grace Wong Xiu Mei (baling tukul besi wanita) dan Nani Sahirah Maryata (lontar peluru wanita).
Sementara itu, Ng Jing Xuan meraih perak acara merejam lembing wanita dengan catatan 52.17m, sekali gus memecahkan rekod kebangsaan 49.34m milik Siti Nur Nadiah Othman.
Emas dimenangi atlet Thailand dengan lontaran 55.64m, manakala gangsa diraih Espenilla Ana Bhianca dari Filipina (51.66m).
Sumber: BERNAMA
#BilikBeritaCATS #CATSFM #Umobile
Back