KUCHING – Sarawak akan memainkan peranan utama dalam kempen Tahun Melawat Malaysia 2026 dan menyeru sokongan penuh daripada semua rakan industri serta media.
Pengarah Tourism Malaysia Wilayah Sarawak, Rubiah Tul’Adwiyah Md Yusof berkata misi kempen itu termasuk mempromosikan budaya, alam semula jadi, gastronomi, memperkukuh pelancongan digital, serta mewujudkan kerjasama strategik dengan rakan kongsi berpotensi.
Berucap pada Majlis Apresiasi Tourism Malaysia bersama pemain industri dan media Sarawak di Kuching malam ini, beliau yakin dengan kerjasama semua pihak, Tahun Melawat Malaysia 2026 akan menjadi tahun cemerlang bagi sektor pelancongan negeri dan negara.
Menurut Rubiah, Tourism Malaysia Wilayah Sarawak telah merangka beberapa inisiatif utama bagi memantapkan kempen Tahun Melawat Malaysia 2026, termasuk memperkukuh pemasaran domestik, memperluas promosi digital, dan meningkatkan penglibatan bersama rakan industri serta media.
Katanya, usaha ini selaras dengan komitmen agensi tersebut untuk memperkuat kerjasama strategik dan mempertingkat capaian promosi di pasaran domestik serta antarabangsa.
Beliau menambah, aktiviti promosi akan menonjolkan kekuatan utama Sarawak dalam bidang budaya, pengembaraan, alam semula jadi, gastronomi, dan festival, yang diperkaya dengan inisiatif pelancongan lestari dan berasaskan komuniti yang disusun dengan teliti.
Jelasnya, bagi mempertingkatkan pengalaman pelancong, pihaknya juga merancang untuk membangunkan pakej pelancongan baharu serta menawarkan pengalaman unik kepada pelancong.
Back