MERADONG - Dua lelaki ditahan polis selepas disyaki terbabit dalam kegiatan penyalahgunaan dadah dalam satu Ops Bersepadu oleh pasukan Task Force Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Meradong di sebuah kampung sekitar Bintangor, semalam.
Ketua Polis Daerah Meradong, DSP Tansli Mering, berkata kedua-dua suspek berusia 32 tahun dan 30-an itu ditahan pada kira-kira 11.45 pagi sebelum dibawa ke IPD Meradong untuk tindakan lanjut.
“Hasil saringan air kencing yang dijalankan di pejabat Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJND) Meradong mendapati kedua-duanya positif dadah jenis Amphetamine dan Methamphetamine,” katanya dalam kenyataan.
Menurut beliau, semakan mendapati kedua-dua suspek tidak mempunyai rekod jenayah lampau, namun tindakan tegas tetap diambil bagi membanteras penyalahgunaan dadah di daerah itu.
Kes disiasat mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952, yang memperuntukkan hukuman denda sehingga RM5,000 atau penjara maksimum dua tahun jika sabit kesalahan.
DSP Tansli menegaskan bahawa pihak polis memandang serius kesalahan berkaitan dadah dan tidak akan berkompromi dengan mana-mana individu yang terlibat dalam kegiatan itu.
Beliau turut menggesa orang ramai menyalurkan maklumat berkaitan aktiviti dadah di Meradong ke Balai Polis Bintangor di talian 084-693222.
#BilikBeritaCATS #CATSFM #Umobile
Back