KUCHING - Lebuhraya Pan Borneo (LPB) Sarawak kini hampir selesai diwartakan sepenuhnya sebagai jalan Gred 1, menandakan langkah penting dalam usaha meningkatkan kapasiti rangkaian jalan raya utama negeri serta merangsang pertumbuhan ekonomi Sarawak.
Pengerusi Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan (LPKP) Sarawak, Michael Kong Feng Nian berkata, 17 daripada 26 sektor lebuh raya yang menghubungkan Teluk Melano, Lundu hingga Permyjaya, Miri telah pun diwartakan di bawah “Senarai 1”, Perintah Had Berat. Baki sembilan sektor lagi kini berada pada peringkat akhir proses perwartaan.
Menurutnya, usaha menyeluruh menaik taraf dan mengkelaskan semula LPB sebagai laluan Gred 1 dilaksanakan melalui kerjasama rapat antara LPKP Sarawak, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Sarawak, Jabatan Kerja Raya (JKR) Sarawak serta Kementerian Pengangkutan Sarawak.
“Perwartaan ini mengesahkan bahawa LPB dibangunkan mengikut piawaian tertinggi, setanding dengan jaringan lebuh raya utama di Semenanjung Malaysia,” katanya dalam kenyataan selepas meninjau sebuah stesen penguatkuasaan JPJ Sarawak.
Dengan peningkatan status tersebut, had berat maksimum kenderaan berat yang dibenarkan menggunakan lebuh raya itu akan dinaikkan kepada 45 tan bagi lori lima paksi dan 50 tan bagi lori enam paksi, sekali gus memberi manfaat besar kepada pengusaha logistik di seluruh Sarawak.
Kong berkata, had baharu itu dijangka meningkatkan kecekapan operasi pengangkutan, selain mencerminkan komitmen kerajaan dalam mengimbangi faktor keselamatan, kecekapan dan keperluan ekonomi negeri.
Beliau menambah, LPKP Sarawak akan terus bekerjasama dengan JPJ, JKR dan agensi berkaitan bagi memastikan dasar pengangkutan di Sarawak kekal progresif serta menyokong pembangunan negeri secara berterusan.
Sumber: BERNAMA
#BilikBeritaCATS #CATSFM #Umobile
Back