BANGKOK - Gimnastik artistik muncul penyelamat kontinjen Malaysia pada hari kedua Sukan SEA 2025 apabila meraih empat pingat termasuk satu emas di Universiti Thammasat, Kampus Rangsit, semalam 11 Disember.
Bintang gimnas negara, Rachel Yeoh, menjadi tumpuan selepas mempamerkan aksi penuh bergaya untuk memenangi emas acara palang bertingkat wanita dengan 13.300 mata, sekaligus menghadiahkan kem gimnastik artistik emas sulung mereka pada edisi kali ini dan satu-satunya emas negara pada hari kedua.
Malaysia menambah kutipan pingat menerusi perak oleh Luqman Al Hafiz Zulfa dalam acara senaman lantai lelaki (12.833 mata), manakala Muhammad Sharul Aimy Kamaru Hisam (kekuda berpelana lelaki) dan Yeap Kang Xian (melombol lelaki) masing-masing menyumbang gangsa.
Di kolam renang Sports Authority of Thailand, dua rekod kebangsaan berjaya diperbaharui. Tong Yu Jing, yang membuat penampilan pertama, memecahkan rekod 50m gaya bebas lelaki dengan catatan 22.48s untuk menang gangsa. Sementara itu, kuartet 4x200m gaya bebas berganti-ganti lelaki negara meraih perak, sambil memadam rekod kebangsaan dengan masa 7:19.50s.
Kem karate, taekwondo, jiujitsu dan waterski turut menyumbang pingat perak, mengukuhkan usaha kontinjen negara memburu sasaran 200 pingat tanpa mengira warna.
Di trek olahraga, jaguh Thailand Puripol Boonson mencuri tumpuan apabila mencipta sejarah sebagai pelari Asia Tenggara pertama berlari di bawah 10 saat dengan catatan 9.94s pada saringan 100m, sebelum meraih emas dengan masa 10.00s. Atlet negara Danish Iftikhar Muhammad Roslee berjaya membawa pulang gangsa (10.26s).
Setakat 10 malam waktu tempatan (11 malam Malaysia), Thailand terus menguasai carta pingat dengan 41 emas, diikuti Vietnam dan Indonesia. Malaysia berada di tempat keenam dengan kutipan 3 emas, 12 perak dan 21 gangsa.
Sumber: BERNAMA
#BilikBeritaCATS #CATSFM #Umobile
Back