KUALA LUMPUR - Malaysia terus bergerak ke hadapan dalam peralihan kepada tenaga bersih melalui National Energy Transition Roadmap (NETR), menurut Timbalan Menteri Ekonomi, Dato’ Hajjah Hanifah Hajar Taib, semasa ucaptama di Clean Energy Transition Asia (CETA) Summit 2025 di Kuala Lumpur Convention Centre.
Beliau menjelaskan transformasi tenaga negara kini merangkumi penggunaan tenaga boleh baharu yang lebih luas, penjimatan tenaga, mobiliti hijau, serta pembangunan teknologi hidrogen dan karbon rendah.
Beliau berkata Sabah dan Sarawak turut memainkan peranan penting dengan dasar dan pelan peralihan tenaga masing-masing, menyokong sasaran nasional sambil memenuhi keperluan tempatan.
Katanya, sehingga Oktober 2025, Malaysia telah mencapai 31% kapasiti tenaga boleh baharu, disokong projek bateri penyimpanan tenaga berskala besar di Sarawak dan Sabah.
Selain itu, pembangunan bahan api penerbangan lestari (Sustainable Aviation Fuel) di Pengerang, Johor, dan projek hidrogen di Sarawak menunjukkan komitmen negara dalam inovasi tenaga bersih.
Menurutnya lagi, melalui penyertaan aktif dalam ASEAN Power Grid, Malaysia kini menjadi peneraju tenaga bersih di rantau ini.
Dato Hanifah menambah pendekatan inklusif turut memastikan manfaat peralihan tenaga dirasai seluruh rakyat, termasuk di kawasan luar bandar, selaras dengan aspirasi negara untuk masa depan tenaga yang bersih, selamat dan mampan.
Sumber: fb Hanifah Hajar Taib
#BilikBeritaCATS #CATSFM #Umobile
Back