KANOWIT - Usaha membaik pulih sekolah daif di Sarawak di bawah Skim RM1 bilion terus menunjukkan perkembangan memberangsangkan, apabila hanya dua sekolah dalam fasa pertama yang masih belum disiapkan.
Timbalan Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak, Datuk Dr. Annuar Rapaee berkata, daripada 140 sekolah yang disenaraikan, 39 sekolah fasa pertama telah siap sepenuhnya, manakala 35 sekolah fasa kedua turut mula beroperasi, memberi manfaat kepada pelajar.
“Lawatan hari ini bertujuan meninjau perkembangan Skim RM1 bilion yang diilhamkan Premier Sarawak untuk mempercepatkan pemulihan sekolah daif. Walaupun terdapat cabaran logistik di kawasan pedalaman, pencapaian setakat ini amat membanggakan,” katanya selepas melawat Sekolah Kebangsaan (SK) Nanga Tada, pada Rabu 11 Disember.
SK Nanga Tada menerima peruntukan RM12.3 juta, kini dilengkapi blok akademik baharu dengan 12 bilik darjah dan asrama menampung 100 pelajar.
Sekolah ini dijangka menerima kemudahan tambahan di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK-13), selaras dengan usaha kerajaan menyediakan persekitaran pembelajaran selamat dan kondusif.
Turut hadir dalam lawatan tersebut ialah ADUN Ngemah Anyi Jana dan Penolong Jurutera JKR Bahagian Sektor Pembangunan, Dick Cheney Micheal Jopie.
Fasa ketiga pemulihan sekolah telah bermula dengan beberapa projek sedang dijalankan, manakala baki projek lain dalam proses perancangan.
Sumber: UKAS
#BilikBeritaCATS #CATSFM #Umobile
Back