BANGKOK - Penantian dua dekad Malaysia untuk merangkul emas badminton berpasukan lelaki di Sukan SEA sekali lagi tidak kesampaian selepas tewas 0-3 kepada musuh tradisi, Indonesia, dalam final edisi 2025 di Pathum Thani, pada Rabu 10 Disember.
Aksi pembukaan menyaksikan Leong Jun Hao gagal memberi permulaan positif apabila tunduk 12-21, 19-21 kepada Alwi Faran dalam pertarungan 46 minit.
Keadaan bertambah sukar dalam perlawanan kedua apabila beregu negara Aaron Chia–Soh Wooi Yik ditundukkan mudah 12-21, 12-21 oleh pasangan pilihan Indonesia, Sabar Karyaman Gutama–Moh Reza Pahlevi Isfahani.
Perlawanan penentuan pula berakhir pilu buat Malaysia apabila Justin Hoh tewas 12-21, 14-21 kepada Moh Zaki Ubaidillah, sekali gus memastikan Indonesia mempertahankan emas acara berpasukan lelaki untuk edisi kedua berturut-turut.
Kekalahan ini turut bermakna skuad negara gagal menamatkan badi sejak kali terakhir bergelar juara pada tahun 2005 di Manila, selain tidak berjaya menebus kekalahan kepada lawan sama pada final 2023 di Phnom Penh.
Malaysia terus gagal menamatkan penantian 20 tahun apabila tewas 0-3 kepada Indonesia dalam final badminton berpasukan lelaki Sukan SEA 2025.
Sumber: BERNAMA
#BilikBeritaCATS #CATSFM #Umobile
Back