BANGKOK - Skuad hoki lima sebelah (5s) lelaki negara membuka tirai kecemerlangan kontinjen Malaysia di Sukan SEA 2025 apabila merangkul emas pertama selepas menewaskan Indonesia 7-3 pada aksi final di Stadium Tentera Udara Diraja Thailand (RTAF), semalam.
Kejayaan manis itu turut melakar sejarah baharu buat Malaysia apabila hoki 5s dipertandingkan buat kali pertama dalam temasya dwitahunan tersebut.
Malaysia bermula garang apabila mendahului 3-0 pada babak pertama menerusi jaringan Mohamad Akhimullah Anuar Esook (7’), Muhammad Abid Sufian Mat Ruslee (8’) dan Luqman Nul Hakim Ahmad Shukran (14’).
Memasuki separuh masa kedua, rentak serangan negara terus menjadi dengan empat lagi jaringan — dua gol tambahan Akhimullah (17’, 29’), gol kedua Abid (22’) dan sentuhan akhir Shafiq Ikhmal Daniel Suzaini pada minit terakhir.
Indonesia hanya mampu membalas melalui Mochamad Fathur (19’) dan dua jaringan pantas Alfandy Prastyo (24’).
Ketua jurulatih negara, Wan Roslan Wan Abdul Rahman, menyifatkan kemenangan itu sebagai bukti karakter juang pemain selain pengalaman tujuh bekas pemain Piala Dunia yang membantu membimbing rakan sepasukan baharu.
Sementara itu, skuad wanita negara terpaksa berpuas hati dengan pingat perak selepas tewas 1-7 kepada tuan rumah, Thailand, dalam aksi final.
Sumber: BERNAMA
#BilikBeritaCATS #CATSFM #Umobile
Back