KUCHING – Projek SUARA 2.0 yang menghimpunkan seramai 60 belia dari seluruh Sarawak membuktikan bahawa golongan muda kini semakin matang, berpengetahuan dan memahami hala tuju pembangunan negeri.
Ketua Setiausaha Politik Premier Sarawak, Dato’ Fazzrudin Abdul Rahman berkata para peserta daripada pelbagai IPTA dan IPTS telah mengikuti bengkel khas yang memberi ruang kepada mereka untuk mengutarakan aspirasi mengenai masa depan Sarawak yang diimpikan.
Bercakap kepada pemberita selepas menyempurnakan majlis penutupan program tersebut di Kuching hari ini, beliau amat kagum melihat keberanian dan kefahaman para belia ketika membincangkan isu-isu termasuk Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dan Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 (PCDS) 2030.
Dato’ Fazzrudin turut menegaskan bahawa suara belia memainkan peranan penting dalam pembentukan dasar kerajaan Sarawak, khususnya dasar-dasar yang digariskan di bawah PCDS 2030.
Menurutnya lagi, belia bukan sahaja bakal menjadi pemimpin pada masa depan, malah mereka juga adalah pemimpin masa kini yang turut terlibat dalam melaksanakan dasar-dasar kerajaan.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Yayasan Perpaduan Sarawak kerana berjaya melaksanakan Projek Suara 2.0 yang memberikan pendedahan awal kepada golongan belia mengenai isu-isu penting negeri seperti MA63 dan PCDS 2030.
#BilikBeritaCATS #CATSFM #Umobile
Back