KUCHING – Kerajaan Sarawak komited memperkasa golongan belia dengan kemahiran yang relevan bagi memastikan kesinambungan pembangunan negeri, khususnya dalam sektor ekonomi baharu.
Ketua Setiausaha Politik Premier Sarawak, Dato’ Fazzrudin Abdul Rahman berkata pendidikan teknikal kini diperkukuh sebagai teras utama pembangunan modal insan.
Beliau menekankan bahawa kerjasama antara Pusat Kecemerlangan Teknologi Sarawak (CENTEXS) dan pihak industri menjadi pemangkin penting dalam menyediakan latihan yang menepati keperluan pasaran serta menawarkan prospek pekerjaan yang lebih terjamin.
Dato’ Fazzrudin berkata demikian ketika ditemui media selepas menyempurnakan Majlis Penutupan Projek SUARA 2.0 di Kuching hari ini.
Menurutnya, pelaksanaan projek strategik negeri termasuk dalam bidang tenaga, teknologi dan inovasi membuka lebih banyak peluang kerja, sekali gus mewujudkan ekosistem ekonomi yang mampan dan berdaya saing, dipacu oleh bakat belia tempatan.
Beliau menegaskan bahawa kerajaan negeri yakin generasi muda mampu menerajui agenda pembangunan jangka panjang yang telah disusun secara terancang dan berterusan.
Back