BANGKOK - Lebih 800,000 liter air dan kemunculan julung kali api hijau menjadi sorotan utama upacara pembukaan Sukan SEA Thailand 2025 di Stadium Nasional Rajamangala pada malam Selasa (9 Disember), menjadikan stadium simbol perpaduan bagi sebelas negara peserta edisi ke-33 temasya dwitahunan itu.
Acara bermula dengan segmen ‘Back to the Origin’ yang menampilkan 800 dron membentuk logo Sukan SEA 2025 sebelum ditamatkan dengan ucapan selamat ‘Sawasdee’ kepada ASEAN dan penonton seluruh dunia.
Persembahan diteruskan dengan segmen ‘Ignite the Games’ menampilkan gabungan laser, nyala api dan cahaya, menandakan cita-cita dan ketahanan atlet Asia Tenggara.
Segmen akuatik ‘We Are One – Connected by the SEA’ menjadi tumpuan dengan tarian balet dalam air oleh lapan bekas atlet kebangsaan Thailand, disertai aksi mendebarkan penunggang jet ski dan flyboard yang menjadikan stadium seakan ‘River of Friendship’, menghubungkan semua kontinjen secara visual.
Persembahan artis K-pop BamBam dari GOT7 melalui segmen “Blooming of One Victory” turut memeriahkan suasana.
Kontinjen Malaysia diketuai atlet olahraga Andre Anura Anuar dan ratu luncur air Aaliyah Yoong Hanifah, memasuki stadium bersama 59 atlet lain yang memakai kemeja batik moden menonjolkan identiti Malaysia.
Raja Maha Vajiralongkorn mengisytiharkan Sukan SEA dibuka secara rasmi, diikuti nyalaan ‘First Green Flame’ yang menandakan peralihan ke upacara lebih lestari dengan penggunaan minimal bahan api, lengkap dengan nyalaan laser, pemetaan cahaya dan dron.
Atlet taekwondo Thailand, Panipak Wongpattanakit, menyalakan kawah sebagai simbol permulaan kempen atlet sehingga 20 Disember ini.
Sukan SEA Thailand 2025 kini berlangsung di dua wilayah, Bangkok dan Chonburi, menampilkan gabungan inovasi, tradisi, dan kemeriahan yang unik bagi temasya dwitahunan terbesar Asia Tenggara.
Sumber: BERNAMA
#BilikBeritaCATS #CATSFM #Umobile
Back