Kuching – Polis Diraja Malaysia (PDRM) Sarawak menekankan kepentingan keselamatan jalan raya sempena perayaan Krismas 2025, melalui kempen advokasi selama enam hari.
Kempen berkenaan dijadualkan bermula pada 23 hingga 28 Disember ini, melibatkan semua cawangan dan jabatan PDRM Kontinjen Sarawak di seluruh daerah negeri ini.
Pesuruhjaya Polis Sarawak, Datuk Mohamad Zainal Abdullah berkata, kempen itu bertujuan meningkatkan kesedaran orang ramai mengenai faktor keselamatan jalan raya dan kepentingan mematuhi peraturan lalu lintas, terutamanya sepanjang musim perayaan.
Menurutnya, kira-kira 700 pegawai dan anggota polis akan terlibat dalam pelaksanaan kempen, bagi memastikan mesej keselamatan sampai kepada semua pengguna jalan raya.
Untuk itu, beliau berharap kempen tersebut mencapai objektifnya dalam membantu menurunkan kadar kemalangan di Sarawak sepanjang musim perayaan.
Dalam pada itu, beliau turut menasihatkan orang ramai agar mengutamakan keselamatan, mematuhi undang-undang, dan mengikuti arahan anggota penguatkuasa yang bertugas di jalan raya sepanjang tempoh Krismas.
Tegasnya, tindakan tegas akan diambil terhadap mereka yang melanggar peraturan.
#BilikBeritaCATS #CATSFM #Umobile
Back