Padawan – Seorang lelaki tempatan berusia 20 tahun ditahan pada Jumaat lalu di Padawan bersama 690 katrij cecair yang disyaki ganja.
Ketua Polis Daerah Padawan, Supt. Mohd. Irwan Hafiz Md. Radzi, dalam kenyataan hari ini berkata, suspek ditahan di kawasan parkir sebuah pusat perkhidmatan kurier di Jalan Kong Ping, Padawan.
Beliau menjelaskan, anggaran nilai keseluruhan katrij yang dirampas ialah RM586,500.00 dan boleh digunakan untuk 3,450 kali penggunaan.
Suspek dikenal pasti terlibat dalam kegiatan pengedaran dadah sejak September tahun ini, dan ini merupakan tangkapan kedua membabitkan individu berkenaan.
Modus operandi suspek adalah mengambil bungkusan yang diarahkan di pusat perkhidmatan kurier.
Suspek menerima upah sebanyak RM200 bagi setiap pengambilan bungkusan, dan RM20 bagi setiap katrij yang dihantar kepada pelanggan di sekitar Kuching dan Padawan.
Polis turut merampas wang tunai berjumlah RM470 serta sebuah motosikal milik suspek, yang dianggarkan bernilai RM8,000.
Siasatan lanjut sedang giat dijalankan untuk mengesan ketua dan rangkaian sindiket yang terlibat dalam aktiviti penjualan dan pengedaran dadah tersebut.
Ujian saringan awal air kencing mendapati suspek negatif dadah. Suspek kini ditahan reman selama tujuh hari bermula 7 Disember hingga 13 Disember.
Kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952, yang memperuntukkan hukuman mati atau pemenjaraan seumur hidup.
Sekiranya tidak dikenakan hukuman mati, suspek boleh dikenakan hukuman sebatan tidak kurang daripada 12 sebatan.
#BilikBeritaCATS #CATSFM #Umobile
Back