KUCHING - Sarawak menarik pelaburan berjumlah RM105.9 bilion bagi tempoh 2021 sehingga suku ketiga 2025 walaupun berdepan persekitaran ekonomi mencabar.
Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa, Industri dan Pelaburan Sarawak, Datuk Dr Malcolm Mussen Lamoh, berkata daripada jumlah tersebut, RM68.4 bilion atau 64.5 peratus adalah pelaburan domestik, manakala RM37.5 bilion atau 35.5 peratus lagi merupakan pelaburan asing.
Beliau menjelaskan pelaburan yang diluluskan direkodkan dalam tiga sektor utama, iaitu sektor primer sebanyak RM47.3 bilion, sektor pembuatan RM31.3 bilion dan sektor perkhidmatan RM27.3 bilion.
Menurut beliau, pelaburan itu dijangka mewujudkan lebih 25,000 peluang pekerjaan, dengan lebih 21,000 daripadanya dalam sektor pembuatan, terutamanya dalam industri Elektrik dan Elektronik (E&E) serta industri kimia.
Beliau berkata demikian semasa penggulungan Kementerian Perdagangan Antarabangsa, Industri dan Pelaburan Sarawak pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak, hari ini.
#BilikBeritaCATS #CATSFM #Umobile
Back