SIBU - Polis Daerah Sibu dengan kerjasama Sarawak Energy Berhad (SEB) memotong bekalan elektrik di tujuh premis yang disyaki menjalankan kegiatan perjudian haram dalam satu operasi penguatkuasaan pada Sabtu, 29 November.
Menurut kenyataan Ketua Polis Daerah Sibu, ACP Zulkipli Suhaili, operasi dari jam 10 pagi hingga 1 tengah hari itu dilaksanakan mengikut Seksyen 21A Akta Rumah Judi Terbuka 1953, yang memberi kuasa kepada polis memohon pemotongan bekalan ke premis terlibat.
Beliau menegaskan pihaknya tidak akan berkompromi dengan mana-mana premis yang menjalankan aktiviti perjudian haram.
Ujarnya, tindakan seumpama itu akan diteruskan dari semasa ke semasa kerana kegiatan tersebut sering berpindah lokasi untuk mengelak dikesan.
ACP Zulkipli turut memberi amaran bahawa semua pihak yang terlibat tidak akan terlepas daripada tindakan tegas.
Orang ramai juga digesa menyalurkan maklumat bagi membantu usaha membanteras aktiviti perjudian haram di daerah ini.
#BilikBeritaCATS #CATSFM #Umobile
Back