KUALA LUMPUR - Jaguh lontar peluru negara, Jonah Chang Rigan, tidak mahu mengulangi kekecewaan Sukan SEA 2023 dan kini menyasarkan emas di Sukan SEA 2025 di Thailand, sambil bertekad memecah rekod temasya milik atlet Filipina, William Morrison, iaitu 18.14 meter.
Atlet berusia 22 tahun dari Sarawak itu juga mahu menyaingi rekod kebangsaan 18.66m yang dicatatnya pada Kejohanan SIPMA September lalu.
“Saya menyasarkan 19 meter, iaitu rekod baharu dan bonus emas,” kata Jonah.
Pada Sukan SEA 2023, beliau hanya meraih tempat keempat dengan lontaran 16.27m, di belakang Muhammad Ziyad Zolkefli (gangsa, 17.30m).
Selain lontar peluru, Jonah akan mengambil bahagian dalam acara lempar cakera buat pertama kali di temasya dwitahunan ini, yang menurutnya memberi tekanan tinggi.
Sukan SEA 2025 berlangsung dari 9 hingga 20 Disember di Bangkok dan Chonburi.
Sumber: BERNAMA
#BilikBeritaCATS #CATSFM #Umobile
Back