LONDON - Arsenal mengekalkan rekod tanpa kalah mereka kepada 17 perlawanan dalam semua pertandingan, selepas Mikel Merino menyamakan kedudukan menentang 10 pemain Chelsea dalam aksi mendebarkan yang berkesudahan seri 1-1 di Liga Perdana Inggeris.
Keputusan penting perlawanan berlaku pada minit ke-38 apabila Moises Caicedo dilayangkan kad merah selepas VAR mengesahkan perlanggaran lewat ke atas Merino, menjadikan ia kad merah keenam Chelsea musim ini.
Chelsea bagaimanapun mendahului sejurus separuh masa kedua melalui tandukan Trevoh Chalobah hasil sepakan penjuru, sebelum Merino menyudahkan hantaran silang Bukayo Saka untuk gol penyamaan pada minit ke-56.
Perlawanan yang sarat dengan ketegangan menyaksikan tujuh kad kuning dilayangkan, manakala Arsenal terpaksa beraksi tanpa benteng utama Gabriel dan William Saliba.
Walaupun beraksi dengan 10 pemain, Chelsea mencipta beberapa peluang terbaik untuk menang, termasuk percubaan Pedro Neto dan Liam Delap yang berjaya diselamatkan.
Dengan keputusan seri itu, Arsenal kini lima mata mendahului Manchester City di tangga kedua, manakala Chelsea kekal di tangga ketiga.
Sumber: BBC
#BilikBeritaCATS #CATSFM #Umobile
Back