KOTA SAMARAHAN - Kerajaan MADANI kini berada pada fasa penting pelaksanaan komitmen Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) melalui mesyuarat bersama yang dipengerusikan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof.
Justeru itu, Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata proses berkenaan tidak wajar diganggu oleh kenyataan atau pendapat yang boleh mendatangkan kekeliruan atau kegusaran dalam kalangan orang ramai.
Katanya, sebarang kenyataan berbaur hasutan berkaitan perjanjian itu berpotensi merosakkan hubungan harmoni yang telah lama terjalin antara Sabah, Sarawak dan Kerajaan Persekutuan.
Bercakap kepada pemberita di Kota Samarahan hari ini, beliau berkata, kenyataan tidak wajar boleh memberi implikasi kepada kestabilan persekutuan serta kepercayaan rakyat terhadap proses penyelesaian MA63.
Sebelum ini, media melaporkan bekas Menteri Undang-Undang Datuk Zaid Ibrahim menyifatkan Sarawak dan Sabah sebagai beban kepada Persekutuan selain turut mempersoalkan MA63.
Dalam satu podcast, Zaid mencadangkan agar MA63 dibatalkan dan kedua-dua negeri itu dimerdekakan daripada Malaysia.
Sumber: BERNAMA
#BilikBeritaCATS #CATSFM #Umobile
Back