KUCHING, 29 Nov - ‘La Promenade Christmas Street’ anjuran Hock Seng Lee (HSL) kembali diterangi lampu, salji buatan, pertunjukan cahaya dan sesi karol sepanjang musim Krismas.
Menurut Ketua Marcom HSL Abraham Tiong hampir 1,800 pokok pain Norfolk di laluan utama La Promenade dipasang lampu, meneruskan tradisi sejak 2021.
Tahun ini, katanya, bajet digandakan dengan penggunaan lampu bernada hangat, mesin salji baharu serta percubaan ‘light show’ yang direka oleh kru teknikal HSL sendiri.
Majlis Penyalaan Lampu berlangsung malam tadi dan turut dihadiri Timbalan Pengerusi Majlis Perbandaran Kota Samarahan, Daily Joseph, yang merakamkan penghargaan atas komitmen HSL dalam menganjurkan acara komuniti berkualiti.
Pertunjukan “Let It Snow” diadakan setiap Jumaat hingga Ahad dari 8 hingga 8.30 malam sehingga Krismas, manakala sesi karol akan berlangsung pada 12 dan 20 Disember. Acara tersebut diadakan bersama Gereja Methodist Iban Kuching dan Samarahan Grace Methodist Church.
Promenade Christmas Market turut dibuka setiap hujung minggu dengan gerai makanan, kraftangan dan aktiviti mesra keluarga. Kempen media sosial “Captured at La Promenade” kembali dengan kategori foto dan reels, menawarkan hadiah menarik kepada peserta.
#BilikBeritaCATS #CATSFM #Umobile
Back