JASIN - Seorang pensyarah wanita berusia 40 tahun kerugian RM914,758 selepas terperdaya skim pelaburan palsu yang menjanjikan pulangan pantas melalui media sosial sejak Julai lepas.
Ketua Polis Daerah Jasin, Supt Lee Robert berkata, mangsa tertarik dengan tawaran belajar dagangan saham melalui aplikasi yang diiklankan di laman sosial sebelum menekan pautan iklan pada 28 Julai.
Mangsa kemudian diarahkan menyertai pelaburan kononnya mampu memberi keuntungan dalam tempoh dua hingga lima minit, dengan membuat 20 transaksi ke sembilan akaun bank berbeza antara 1 Sept hingga 18 Okt menggunakan wang simpanan, pinjaman bank dan pinjaman ahli keluarga.
Mangsa juga diarahkan membayar RM20,000 tambahan sebagai yuran suku tahun sebelum keuntungan boleh dikeluarkan, namun menyedari penipuan itu dan membuat laporan polis pada 23 Nov.
Kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.
Polis menasihatkan orang ramai supaya berhati-hati dengan skim pelaburan yang menjanjikan pulangan tidak munasabah, menyemak nombor telefon, akaun bank dan nama syarikat melalui portal rasmi sebelum membuat transaksi, serta segera menghubungi National Scam Response Centre (NSRC) jika menjadi mangsa.
Sumber: BERNAMA
#BilikBeritaCATS #CATSFM #Umobile
Back