Kuching – Pelaksanaan Rang Undang-Undang (RUU) Perlembagaan Negeri Sarawak 2025 yang diluluskan hari ini, berkemungkinan akan digunakan serta-merta atau selepas pilihan raya yang akan datang.
Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, Dato’ Sri Abdul Karim Rahman Hamzah, yang membawa RUU itu berkata, keputusan itu terpulang kepada kuasa prerogatif Premier Sarawak.
Menurut beliau, hak untuk membuat rombakan kabinet terletak di bawah kuasa Premier.
Walaupun jumlah anggota kabinet telah dinaikkan selepas RUU itu diluluskan, Premier masih mempunyai kuasa untuk menambah, memecahkan, atau mengurangkan kabinet.
Bagaimanapun, RUU tersebut tidak secara khusus menjurus kepada kementerian tertentu atau mana-mana menteri yang ditukar atau dipindahkan.
Menurut beliau, pengenalan bidang-bidang baharu seperti tenaga hijau dan ekonomi digital menjurus kepada keperluan untuk kementerian yang lebih khusus dan lebih fokus bagi bidang-bidang tertentu.
Perkara itu mungkin perlu dimasukkan dalam kementerian baru atau melalui transformasi kementerian sedia ada.
Justeru, beliau menyeru semua pihak untuk menunggu sama ada ia akan dilaksanakan pada masa ini atau selepas pilihan raya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas membentangkan RUU Perlembagaan Negeri Sarawak (Pindaan) 2025 di Kuching hari ini.
Terdahulu, Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak meluluskan RUU Perlembagaan Negeri Sarawak (Pindaan) 2025 yang membolehkan kerajaan negeri melantik sehingga empat ahli tambahan ke dalam Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) atau Kabinet Negeri.
#BilikBeritaCATS #CATSFM #Umobile
Back