BURNLEY - Chelsea meneruskan rentak cemerlang apabila menewaskan Burnley 2-0 di Turf Moor hasil jaringan Pedro Neto dan Enzo Fernandez, sekali gus melonjak ke tangga kedua Liga Perdana.
The Blues yang tampak lebih berhati-hati pada awal permainan hampir dihukum apabila Burnley memulakan aksi dengan agresif, namun beberapa percubaan Jaidon Anthony dan Loum Tchaouna berjaya dipatahkan penjaga gol Chelsea, Robert Sanchez.
Chelsea yang bermula perlahan akhirnya menemui rentak dan membuka jaringan menerusi Pedro Neto yang menyudahkan hantaran lintang Jamie Gittens.
Jaringan itu mengubah momentum perlawanan dengan pasukan pelawat semakin menguasai permainan.
Masuk babak kedua, Chelsea mengukuhkan dominasi meskipun menarik keluar kapten Reece James pada waktu rehat.
Neto hampir menggandakan kedudukan selepas rembatannya mengenai tiang, diikuti deretan percubaan daripada Malo Gusto, Joao Pedro, Gittens, Fernandez dan Marc Cucurella.
Chelsea memastikan kemenangan pada lewat permainan apabila gerakan balas pantas melibatkan Neto dan pemain muda Marc Guiu membuka ruang kepada Enzo Fernandez untuk merembat masuk gol kedua.
Burnley kekal di tangga ke-17 dan berisiko jatuh ke zon penyingkiran, manakala Chelsea kekal dalam kelompok teratas dengan menduduki tangga kedua liga walaupun telah bermain satu perlawanan lebih.
Sumber: BBC
#BilikBeritaCATS #CATSFM #Umobile
Back