KUCHING - Kerajaan Sarawak menegaskan komitmennya untuk terus memperkukuh keharmonian antara agama dan kepelbagaian budaya, yang dianggap sebagai tunjang kekuatan negeri.
Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, negeri ini kekal sebagai model perpaduan nasional hasil daripada sikap hormat, toleransi dan penerimaan rakyatnya yang terdiri daripada pelbagai latar etnik dan agama.
“Diwali bukan sekadar perayaan, tetapi simbol perpaduan dan cahaya menolak kegelapan, sama seperti rakyat Sarawak yang, walaupun berlainan budaya dan kepercayaan, bersatu meraikannya sebagai sebuah keluarga besar,” katanya pada sambutan Sarawak Shines: Diwali The Sarawak Way di Borneo Convention Centre Kuching (BCCK) pada Isnin malam 17 November.
Beliau turut memberi penghargaan kepada komuniti India di Sarawak atas sumbangan mereka dalam pendidikan, perubatan, perundangan, perniagaan, seni dan khidmat masyarakat, yang menyumbang kepada kekuatan sosial dan budaya negeri.
Dalam acara itu, Datuk Amar Douglas Uggah menekankan peranan penting Unit Agama Lain (UNIFOR), inisiatif pertama seumpamanya di Malaysia, dalam memastikan tempat ibadat bukan Islam mendapat sokongan sewajarnya.
Beberapa peruntukan telah disalurkan kepada komuniti bukan Islam, termasuk RM900,000 kepada Persatuan Kuil Maha Mariamman bagi pembangunan fasiliti baharu, dan RM300,000 untuk penyelenggaraan dan pembangunan lain.
Selain itu katanya Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg turut meluluskan RM2.3 juta untuk pembangunan tambahan berkaitan kemudahan komuniti India.
Acara tersebut turut dihadiri Yang Dipertua Negeri Sarawak Tun Pehin Sri Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar dan isteri, Datuk Patinggi Toh Puan Fauziah Mohd Sanusi, serta Presiden Sri Maha Mariamman Temple Kuching, Dato Shankar Ram Asnani dan isteri, Datin Karishma Shankar Asnani, selain lebih 1,000 tetamu daripada pelbagai komuniti di seluruh Sarawak.
Sumber: UKAS
#BilikBeritaCATS #CATSFM #Umobile
Back